Monday 2 April 2018

PENTARIKHAN DALAM ARKEOLOGI


Antara persoalan utama dalam arkeologi ialah usia. Dalam hal ini, usia sesuatu bahan dapat ditentukan melalui kaedah pentarikhan dalam arkeologi. Pentarikhan dapat dibahagikan kepada dua iaitu pentarikhan mutlak dan pentarikhan relatif.

Pentarikhan mutlak ialah pentarikhan yang menyatakan usia sebagai bilangan tahun - tahun yang telah berlalu sejak suatu tarikh permulaan yang tetap seperti sebuah kalendar serta menggunakan prinsip radiasi. Antara kaedah di dalam pentarikhan mutlak ialah termo pendar kilau (TL), pentarikhan karbon 14, kaedah siri uranium serta kaedah-kaedah lain.

Termo pendar kilau atau Thermoluminescence (TL) merupakan pentarikhan berdasarkan electron yang terperangkap. Kaedah ini juga dapat dilakukan pada sampel bukan organik yang pernah terbakar seperti tembikar dan boleh mencapai usia pentarikhan sehingga 50,000 tahun.

Mengambil contoh tembikar, bahan asas pembuatanya adalah tanah liat. Secara semulajadi, TL wujud dalam tanah liat. Apabila tanah liat ini telah siap dibentuk, ia perlu dibakar untuk mengeraskan tembikar. Semasa proses pembakaran, semua TL yang terdapat dalam tembikar tersebut dikeluarkan. Selepas itu, apabila berlaku proses penyejukan pada tembikar atau tembikar tersebut tertimbus di tanah, TL akan diserap semula secara semulajadi ke dalam tembikar dengan pengiraan 0 (sifar) semula (TL sebelum ini telah dikeluarkan semasa proses pembakaran untuk penghasilannya). Apabila arkeologis menjumpai tembikar ini, sekali lagi ia perlu dibakar. Semua TL yang dikeluarkan semasa pembakaran kali kedua ini akan dikumpulkan untuk pengiraan usia artifak. Semakin banyak TL, semakin tua usia artifak tersebut.

Kaedah TL telah diaplikasikan dalam pentarikhan kepala Jemaa yang diperbuat daripada terakota dan berusia 500 BC oleh masyarakat Nok di Nigeria.

Pentarikhan karbon 14 atau dikenali juga dengan pentarikhan radiokarbon pula ialah salah satu jenis pentarikhan yang kerap digunakan dan bermanfaat dalam bidang arkeologi. Kaedah ini diperkenalkan oleh Willard Libby semasa Perang Dunia II. Pentarikhan ini berfungsi dalam menentukan berapakah usia sesuatu artifak berdasarkan bilangan karbon-14 yang masih berada dalam sesuatu bahan artifak. Dalam hal ini, hipotesis yang dapat dikemukakan ialah semakin kurang karbon dalam bahan artifak tersebut, maka semakin lama usia bahan tersebut.

Apabila tumbuhan atau haiwan mati, C14 sudah tidak diambil dan C14 mula menyusut melalui penyusutan radioaktif. Oleh kerana separuh hayat C14 telah diketahui (5730 tahun), maka usia tumbuhan dan haiwan boleh dikira berdasarkan jumlah radiokarbon yang masih tinggal di dalam sampel. Penyusutan radiokarbon ini menghasilkan sinar beta (β).

Sampel yang dapat digunakan ialah semua benda hidup kerana semua organisama hidup mengandungi karbon seperti kayu, cengkerang dan tulang. Julat umur pula adalah di antara 1,000 – 40,000 tahun.

Antara tapak yang menggunakan kaedah ini ialah Gua Gunung Runtuh di Lenggong, Perak yang menyaksikan penemuan Manusia Perak atau Perak Man.

Pentarikhan siri uranium merupakan pentarikhan yang dilakukan berdasarkan kepada pereputan isotop radioaktif uranium.

Dalam hal ini, dua isotop radioaktif uranium (238U dan 235U) mengalami pereputan dalam suatu siri tahapan menjadi unsur-unsur berkembar iaitu thorium (230Th) dan protactinium (231Pa). Pereputan ini berlangsung teratur dengan sistem half-life.

Perlu diketahui bahawa isotop induk uranium mencair dalam air, ,manakala thorium dan protactium tidak. Oleh itu, hanya isotop uranium yang ada di dalam air dan berupaya menyerap masuk ke dalam gua batu kapur. Apabila air tersebut terenap dan membentuk lapisan kalsium karbonat pada dinding dan dasar gua (dalam bentuk traventin), jam radioaktif akan hidup kerana material traventin bersamaan dengan isotop induk. Semakin besar jumlah thorium berkembar (thorium dan protactinium) terperangkap pada traventin dan protactinium dalam kaitannya dengan isotop induk uranium, semakin tua umur traventin.

Sampel yang diperlukan untuk mendapatkan umur adalah 100g kalsium karbonat. Kebiasaannya ianya digunakan dalam pentarikhan tapak dalam gua di mana terdapat penempatan manusia disitu dan kaya dengan kalsium karbonat. Artifak ini kebiasaannya dijumpai tertanam di kawasan tapak lapisan kalsium karbonat.
Teknik ini dijalankan untuk menentukan tapak-tapak atau tinggalan arkeologi yang berusia 500, 000 hingga 50, 000 tahun.

Antara tapak yang menggunakan pentarikhan ini ialah kawasan Nahal Zin (utara Gurun Negev, Israel) iaitu tapak Nahal Avdat. Tapak ini merupakan tapak Paleolitik yang dikaji oleh A. Marks dan rakan sekerjanya. Tapak ini juga mempunyai deposit travertine yang mana ditemui artifak yang tertanam serta berkait rapat dengan fasa terawal Paleolitik. Sampel travertine dari Nahal Avdat menunjukkan tarikh 47 ± ka (seribu tahun).

Pentarikhan relatif pula merupakan pentarikhan yang berdasarkan perbandingan. Sesuatu tapak atau artifak itu dibandingkan dengan dinyatakan samada lebih tua atau lebih muda. Dalam erti kata lain, pentarikhan ini tidak memberikan tarikh yang mutlak. Terdapat beberapa jenis pentarikhan relatif iaitu sistem tiga zaman, stratigrafi, urutan tipologi dan seriasi.

Sistem tiga zaman (three age system) telah diperkenalkan oleh seorang pedagang kaya dari Denmark, Christian Jurgensen Thomsen pada tahun 1836. Kaedah pentarikhan ini menyusun sesuatu artifak  mengikut zaman ia dihasilkan seperti Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi.

Kesukaran kaedah ini adalah terdapat sesetengah tempat yang melangkau peringkat zaman tertentu atau tidak melalui zaman tersebut. Sebagai contoh di sub-Africa-Sahara bermula dari Zaman Batu terus ke Zaman Besi tanpa melalui Zaman Gangsa. Penggunaan kaedah ini dalam menentukan kemajuan sesuatu komuniti juga selalunya tidak begitu tepat. Contohnya, masyarakat kuno Maya mempunyai kemajuan dalam bidang matematik dan astronomi tetapi masih menggunakan teknologi alat batu. Begitu juga Kebudayaan Pra-Inca yang terlibat dengan pembuatan logam telah bermula sekitar 1500 BC. Di Jepun pula, tembikar telah wujud 10,000 BC tetapi gangsa dan penanaman padi hanya wujud sekitar 500 BC.

Pentarikhan stratigrafi pula merupakan kajian stratifikasi iaitu lapisan atau strata yang melapisi lapisan yang lain. Kaedah ini telah mengaplikasikan prinsip ‘The law of Superposition’ yang telah dikembangkan oleh seorang geologis, Nicolas Steno pada tahun 1669. Berdasarkan prinsip ini, Steno menyatakan bahawa tanah yang berada di dalam bumi disusun secara berlapis – lapis. Lapisan yang teratas adalah lebih muda berbanding lapisan yang berada di bawah. Oleh itu, arkeologis mengaplikasikan keadah ini dalam membuat pentarikhan artifak dimana artifak yang ditemui di permukaan yang lebih dalam adalah lebih tua daripada artifak yang berada di atasnya dengan syarat tapak itu tidak terganggu atau in-situ.

Walaupun begitu, pentarikhan  ini turut mempunyai kelemahan dimana terdapat stratigrafi yang dijumpai berada di dalam keadaan yang tidak teratur. Hal ini disebabkan keadaan semulajadi bumi dan faktor geologi menyebabkan lapisan tanah terganggu iaitu pergerakan batu – batu di kerak bumi serta kejadian bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan sebagainya. Artifak – artifak yang berada di dalam tanah akan beralih dan tidak lagi berada di posisinya yang asal. Selain itu, tapak – tapak ini tidak mungkin in-situ kerana kemungkinan berlakunya kegiatan manusia seperti penggalian lubang – lubang sampah dan perigi yang menyebabkan lapisan tanah terganggu serta haiwan yang tinggal di dalam tanah boleh menyebabkan artifak jatuh ke lapisan tanah yang lebih tua.

Pentarikhan tipologi ialah kaedah mengklasifikan sesuatu benda berdasarkan ciri – ciri yang khusus atau fizikal yang terdapat pada benda tersebut. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh General Pitt-Rivers (1827-1900). Keadah ini juga diaplikasikan terhadap jumpaan artifak dan fitur seperti tembikar, peralatan, bangunan dan monumen.

Mengambil contoh dalam pengelasan tembikar, setiap jenis yang dikelaskan merupakan satu siri atribut yang membezakan dengan kumpulan tembikar yang lain. Selalunya, atribut digunakan untuk mengenalpasti jenis tembikar seperti melalui bentuknya dan dapat dibezakan dengan tembikar lain melalui mata kasar. Dengan mengelaskan tembikar mengikut jenis, ahli arkeologi dapat menganalisis satu siri pecahan tembikar dan dengan mudah dapat mengetahui period tembikar tersebut dihasilkan. Ahli arkeologi juga dapat menilai bila sesebuah tapak prasejarah digunakan dan sebagainya.

Pentarikhan seriasi merupakan hasil daripada perkembangan kaedah tipologi. Seriasi adalah pentarikhan relatif yang melibatkan susunan dan pengumpulan pelbagai jenis artifak ke dalam susunan kronologi berasaskan kepada persamaan dan perbezaan. Dengan mengaplikasikan pentarikhan jenis ini, artifak juga disusun mengikut yang paling popular pada zaman penggunaanya seperti tembikar dan batu nisan. Artifak disusun dan dapat dilihat perkembangannya. Arkeologis juga melihat pada ciri artifak untuk menjelaskan seriasi atau urutan evolusi artifak.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kaedah pentarikhan dalam arkeologi yang dibahagi kepada dua umumnya iaitu pentarikhan  mutlak dan pentarikhan relatif. Pentarikhan dalam arkeologi telah memudahkan para arkeologis dalam menentukan umur sesuatu artifak serta memberi manfaat dalam pelbagai bidang.

No comments:

Post a Comment