Saturday 17 February 2018

ARKEOLOGI DI MALAYSIA

Arkeologi dapat didefinisikan sebagai suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji terutamanya melalui bahan-bahan peninggalan.

Menurut Profesor W.G. Solhiem, tahap kegiatan arkeologi di Malaysia dapat dibahagikan kepada 4 fasa atau peringkat iaitu Fasa 1 (kegiatan dari tahun 1840an hingga 1910), Fasa 2 (kegiatan dari tahun 1910 hingga 1957), Fasa 3 (kegiatan antara tahun 1958 hingga 1970) dan Fasa ke-4 ialah kegiatan-kegiatan dari tahun 1970 hingga kini.


Pada fasa yang pertama, kajian arkeologi dijalankan oleh para pegawai British dan golongan purbawanisme. Fasa ini dimulai dengan penemuan sebuah tapak timbunan kulit kerang di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 1860-an oleh G.W. Earl.

Ekskavasi arkeologi dijalankan buat pertama kali di Gunung Cheroh, Perak pada tahun 1886 oleh Leonard Wray. Dalam ekskavasi tersebut beliau telah menemui alat-alat batu dan rangka manusia yang dikebumikan secara melentur.

Pada fasa yang kedua iaitu antara tahun 1910-1957 menyaksikan I.H.N. Evans dilantik sebagai pembantu kurator dan pembantu etnografi bagi FMS(Federated Malay States) Museum pada tahun 1912. Beliau telah menjalankan beberapa kerja eksplorasi dan ekskavasi seperti di Gua Kajang, Lenggong pada 1917, Batu Kurau pada 1920, Gunung Pondok pada 1921, Gunung Senyum dan Kota Tongkat di Pahang pada 1927.

Penggunaan teknologi yang lebih canggih dalam arkeologi di Malaysia mula dipelopori oleh P.V. Van Stein Callenfels pada 1926-27. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan teodolite dan titik datum sebagai titik rujukan untuk mengukur dan merekod artifak yang dijumpai dalam kerja kerja ekskavasi. Kaedah ini telah digunakan dalam kajian beliau di Kuala Selinsing, Pulau Kalumpang, Perak (tapak awal kurun masihi).

Beliau dan Evans juga telah mengkaji penyebaran kebudayaan alat-alat batu dari Indochina melalui Semenanjung Malaysia dan terus ke Sumatera di Gua Badak dan Gua Kerbau (Perak). Sebanyak 20 laporan telah dihasilkan dan menyumbang kepada perkembangan arkeologi Malaysia.

Pada tahun 1934, H.D. Collings dan M.W.F. Tweedie telah menjalankan kajian dan ekskavasi di Guar Kepah, Seberang Prai. Melalui penyelidikan ini Callenfels telah mengeluarkan pandangan berkenaan penghijrahan masyarakat prasejarah yang dikenali sebagai masyarakat Melanesoid yang melalui Semenanjung Tanah Melayu ke Sumatera. Pada tahun 1938 pula H.D. Collings telah menjumpai sebuah tapak Pleistosen berkebudayaan Paleolitik di Kota Tampan, Perak.

P.D.R. William Hunt menjadi individu pertama yang menggunakan pentarikhan kronometrik (Karbon 14). Kaedah tersebut telah diaplikasikan di tapak Gua Harimau. Beliau juga telah menemui artifak-artifak dari Bukit Tengku Lembu dan menulis laporan ringkas tentang kajian arkeologi terbaru di Semenanjung Malaysia di dalam JMBRAS (Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society).

Pada tahun 1954, G.de.G. Sieveking telah melakukan ekskavasi arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Hasil penyelidikan beliau, beliau berpandangan bahawa tapak Gua Cha merupakan tapak komponen pelbagai (multi-component site) yang mencakupi zaman kebudayaan Hoabinhian sebagai lapisan kebudayaan awal kemudian diikuiti oleh lapisan berkebudayaan Neolitik oleh masyarakat lain.

Fasa ketiga menyaksikan penemuan lukisan prasejarah yang menggunakan hematit di tapak gua batu kapur di Gunung Panjang, Ipoh pada 1959. Kajian tersebut dijalankan oleh J.M. Matthew. Beliau juga berpendapat lukisan tersebut merupakan tinggalan kebudayaan masyarakat yang mengamalkan kebudayaan Hoabinhian. Selain itu, beliau telah berhasil mengumpulkan tapak-tapak prasejarah berkebudayaan Hoabinhian di Semenanjung Malaysia antara tahun 1860 hingga 1939.

Seramik-seramik China abad ke-11 dan 13 telah ditemui di Pulau Tioman, Pahang oleh Lord Medway pada tahun 1962. Dalam 1960-an juga, Mubin Sheppard telah mengkaji tapak megalitik di Melaka dan Negeri Sembilan.

Pada tahun 1964, B.A.V. Peacock telah menjalankan ekskavasi terhadap sebuah tapak Zaman Logam di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor dan di Kampung Batu Buruk, Kuala Terengganu dan beliau berjaya menemui 4 buah serpihan gendang gangsa yang berlainan.

Beliau juga bersama F.L. Dunn berjaya menemui satu rangka teoritikal untuk membina semula kebudayaan prasejarah dan protosejarah Semenanjung Malaysia melalui kajiannya terhadap tapak prasejarah di Ulu Kelantan. Dalam kajian tersebut, beliau mengaplikasikan kaedah etnoarkeologi yang juga merupakan pertama kali dilakukan di Malaysia.

Pada fasa keempat, perkembangan arkeologi di Malaysia dapat dibahagikan kepada tiga aspek iaitu penyelidikan berbentuk survei arkeologi,  penyelidikan berbentuk ekskavasi penyelamatan dan penyelidikan ekskavasi secara total.

Penyelidikan berbentuk survei arkeologi merupakan kajian untuk menyelidik dan mencari tapak baru serta tapak lama yang pernah dilaporkan oleh penyelidik sebelum ini.

Penyelidikan berbentuk ekskavasi penyelamatan pula ialah penyelamatan terhadap tapak yang terlibat dengan program pembangunan nasional seperti pembinaan Empangan Tasik Kenyir.

Manakala, penyelidikan ekskavasi secara total merujuk kepada kajian yang tersusun dan sistematik terhadap tapak baru mahupun ekskavasi semula terhadap tapak lama seperti yang dilakukan oleh Adi Taha di tapak Gua Cha.

Secara keseluruhannya, gambaran prasejarah pada masa ini telah lengkap dengan maklumat pentarikhan, sekitaran kuno, teknologi, bahan mentah, diet, klasifikasi artifak dan pelbagai lagi.

RUJUKAN

Hole, Frank, Yacob Shakila, and Robert F. Heizer. Arkeologi Prasejarah : Satu Pengenalan Ringkas.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.

Mokhtar, Saidin. Bukti Prasejarah Di Malaysia.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010.

Yunus Sauman@Sabin dan Wan Noorlizawati Wan Mat Ali, ‘Kajian Dan Dokumentasi Tapak-Tapak Arkeologi Dan Tapak Tanah Bersejarah Di Perak’, Penyelidikan Universiti, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, 2010.



No comments:

Post a Comment